Melaka capai sasaran kadar perbandaran lebih awal – KM
BANDA HILIR 26 November – Melaka berjaya mencapai sasaran 87.5 peratus bagi kadar perbandaran lebih awal menerusi Rancangan Struktur Negeri Melaka (RSN) 2035.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan negeri ini mementingkan aspek kesejahteraan penduduk.
“Melaka sasarkan kadar perbandaran pada tahap 70 peratus tahun ini, bagaimanapun kita capai lebih tinggi dengan merekodkan sebanyak 87.5 peratus kadar perbandaran.
“Aspek perancangan bandar merupakan elemen penting dalam perancangan pembangunan Negeri Melaka dan kehidupan penduduk.
“Justeru, kita menetapkan hala tuju pembangunan Negeri Melaka dalam RSN 2035 adalah menjadikan Melaka sebagai negeri Bandar Berdaya Tahan yang berkembang maju, hijau, sejahtera rakyat dan beridentiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2023 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Perancangan Bandar dan Desa, TPr. Hassan Yaakob.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Tpr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron.
Ab Rauf berkata, aspek perancangan bandar yang mampan menjadi penentu kepada kelestarian Negeri Melaka pada masa akan datang.
“Mungkin disebabkan kedudukan Melaka yang tidak begitu besar dari segi saiz, menyebabkan kita berjaya mencapai sasaran lebih awal.
“Perancangan pembangunan yang mampan juga menjadi indikator bagi membentuk cara kita bekerja dan menjalani kehidupan yang mempunyai kesan langsung terhadap kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Pada sambutan itu turut diadakan penyampaian anugerah kepada tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka 2023 dan pelancaran Ceritera.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.