Melaka catat RM4.822 bilion nilai pelaburan tahun lalu – KM
SERI NEGERI 1 Mac – Melaka masih menjadi destinasi pilihan para pelabur meskipun negara berdepan pelbagai cabaran kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Jan hingga Sep 2021 sebanyak 111 projek dengan jumlah pelaburan RM4.822 bilion sudah diluluskan dan mewujudkan 3,110 peluang pekerjaan.
“Nilai pelaburan pada 2021 lebih tinggi berbanding laporan MIDA pada 2019 dan 2020 dengan masing-masing sebanyak RM2.205 bilion dan RM3.316 bilion sahaja,” katanya ketika berucap Sempena Perbukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di Seri Negeri, hari ini.
Beliau berkata, dalam meneruskan perancangan pembangunan, Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, akan terus dijadikan sebagai garis panduan dan ‘living document’ bagi ditambahbaik dari semasa ke semasa, mengikut kesesuaian.
Menurutnya, bagi memastikan pembangunan berjalan lancar dan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dicapai, segala perancangan inisiatif serta projek disenaraikan di dalam Dokumen PSMJ 2035 dipantau secara telus, melalui Sistem Melaka Laksana, selain semakan pencapaian setahun PSMJ 2035.
“Bagi 2022, selain daripada inisiatif di bawah manifesto, Kerajaan Melaka memuktamadkan perancangan tersebut dalam Konvensyen Bengkel Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka, yang turut diselarikan dengan PSMJ 2035, pada minggu ketiga Jan
2022 lalu.
“Berkait demikian, sukacita saya maklumkan, sehingga 31 Disember 2021, pencapaian keseluruhan PSMJ 2035 sudah melebihi 91 peratus. Sekalung syabas buat semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.