Melaka dicadang jadi hab pelancongan India ke Malaysia – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PENGKALAN BATU 6 September – Kerajaan negeri menyasarkan 10 peratus kemasukan pelancong dari India Selatan ke Melaka berikutan populasinya yang mempunyai seramai 600 juta penduduk.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dengan kemasukan pelancong dari negara itu Melaka bakal dijadikan pintu masuk hab pelancongan India ke Malaysia.

“Menteri Pelancongan dari India berjumpa saya seminggu yang lepas dan saya telah menyatakan hasrat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) berstatus antarabangsa.

“Kita dapat info melalui Malaysia Airports Holdings Berhad ada beberapa pesawat seperti Boeing dan Airbus yang boleh mendarat tanpa masalah.

“Cumanya kekangan kita landasan di LTAM pendek sedikit, tetapi ada model (pesawat) tertentu yang ‘full load’ boleh mendarat dan berlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pengantin di Aeon Bandaraya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 60 peratus daripada penduduk India Selatan itu adalah golongan pertengahan yang mempunyai kuasa membeli yang besar.

“Kalau dapat 10 peratus pun dah boleh memanfaatkan Negeri Melaka, ini potensi yang baik dan kita kena bersiap sedia menerima kedatangan mereka.

“Kita nak lihat jika Batik Air atau mana-mana syarikat penerbangan yang tidak boleh adakan penerbangan terus dari India ke Malaysia dan Malaysia ke India ini, kerana kita akan bawa masuk syarikat lain dari India sendiri ke Melaka.

“Mereka (India) juga berhasrat untuk memperkenalkan barangan elektronik buatan India di Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1959
Kongsi :
Previous post Pelan tindakan teknologi dron Malaysia 2022-2030 akan dibangunkan – PM
Next post Tiada syarat baharu bertanding pilihan raya
Ubah saiz-+=