Melaka FC ganti Melaka United, MUSA ditukar kepada MAFA

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 15 November – Melaka FC disahkan akan menjadi pasukan yang bersaing mewakili Negeri Melaka pada saingan Liga M3, musim depan.

Ia sekali gus menepis spekulasi nama Harimau Melaka FC yang akan digunakan sebagai pengganti Melaka United FC yang sudah ‘terkubur’.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, Melaka FC yang sedang dipersiapkan itu bakal mewarnai kancah Liga M3 dengan semangat baharu dalam misi kembali ke Liga Super pada 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

Katanya, walaupun bersaing di liga bawahan, namun, beliau akan sedaya upaya memastikan pasukan itu mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super dengan membariskan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka.

“Malah, kita juga sedang dalam proses memilih jurulatih baharu dengan kita sudah menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk mengemudi pasukan.

“Pada masa sama, jawatankuasa teknikal juga akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.

“Barisan pemain pulanakan kita siapkan pada Disember, iaitu dua bulan sebelum saingan Liga M3 membuka tirai pada Februari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Gavernor Cup 2022, di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

IMG-20221114-WA0015
NUR AZMI

Mengulas lanjut, beliau berkata, Stadium Hang Jebat akan menjadi venue perlawanan laman sendiri (home) Melaka FC dan semua perlawanan akan diadakan pada sebelah malam.

Malah, beliau turut mengumumkan khabar gembira kepada penyokong skuad Hang Tuah yang berpeluang menyaksikan perlawanan secara percuma di stadium berkenaan pada peringkat permulaan.

Selain itu, Nur Azmi berkata, pihaknya juga telah membuat ketetapan dalam soal pengurusan dan akaun pasukan bagi memastikan masalah tunggakan gaji tidak berulang.

Jelasnya, satu akaun khas akan diwujudkan khusus untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan.

“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain kerana perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Azmi turut mengumumkan nama Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini diganti kepada MAFA berkuat kuasa serta merta.

Katanya, pertukaran itu bertujuan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Melaka dengan kembali semula kepada nama asal yang telah wujud sejak tahun 1924.

Perubahan itu juga, menurutnya mampu mengembalikan semula semangat baharu kepada arena sukan bola sepak di negeri ini.

“Kalau hendak ke depan, saya tidak nampak MUSA itu sebagai satu jenama yang boleh membangun atau menaikkan nama Melaka.

“Benar, jenama tidak penting, tetapi pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan. Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, insya-Allah, sasaran untuk kita kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10614
Kongsi :

3 thoughts on “Melaka FC ganti Melaka United, MUSA ditukar kepada MAFA

Comments are closed.

Previous post PRU15: Pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini
Next post Governor Cup 2022 rancakkan arena bola sepak Melaka
Ubah saiz-+=