Governor Cup 2022 rancakkan arena bola sepak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 15 November – Sebanyak 17 pasukan bakal berentap dalam memburu gelaran juara sulung Kejohanan Bolasepak Governor Cup 2022 yang julung kali diadakan di Melaka.

Kejohanan anjuran Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu bakal diadakan bermula 26 November ini hingga 1 Januari 2023.

Presiden MAFA Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, kejohanan itu diadakan bagi merancakkan saingan bola sepak, di samping menjadi medan mencungkil bakat baharu serta memilih pemain yang berpotensi untuk menyarung jersi Melaka FC dalam saingan Liga M3 musim depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada 17 pasukan termasuk tujuh pasukan jemputan yang menyertai kejohanan yang pertama kali diadakan di Melaka ini.

“Kejohanan ini merupakan permulaan pertama kita ke arah saingan dan liga bola sepak yang lebih profesional kerana misi saya ialah untuk menjadikan liga di Melaka ini sekurang-kurangnya bertaraf kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Gavernor Cup 2022, di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Antara pasukan yang bersaing dalam Governor Cup 2022 ialah Tampoi FC, Jebat FC, Hulubalang FC, MBMB Warriors FC, Durian Tunggal United FC, Bara FC, Bertam Ulu FC, Duyong Fighter FC, Bachanglona FC dan Rizq FC.

Manakala, pasukan jemputan terdiri daripada Parlimen Masjid Tanah, Parlimen Alor Gajah, Parlimen Tangga Batu, Parlimen Hang Tuah Jaya, Parlimen Kota Melaka, Parlimen Jasin dan UTeM TUAH FC.

IMG_20221114_212835
KEPUTUSAN undian peringkat kumpulan bagi Kejohanan Governor Cup 2022.

Kejohanan yang diadakan di Stadium Mini UTeM itu menawarkan hadiah keseluruhan RM18,000, selain turut memperkenalkan tiga anugerah sampingan iaitu Anugerah Fair Play, Anugerah Penjaring Terbanyak dan Anugerah Pemain Terbaik.

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, bermula tahun depan, MAFA akan mengelola kira-kira 365 perlawanan bola sepak pelbagai peringkat sepanjang tahun bagi mengembalikan bola sepak sebagai sukan nombor satu di negeri ini.

Menurutnya, penganjuran lebih banyak perlawanan dan pendedahan itu dapat membantu meningkatkan kecergasan pemain sebagai persediaan menghadapi perlawanan yang lebih kompetitif di masa akan datang.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat mengurangkan gejala sosial anak-anak menerusi lebih tumpuan kepada aktiviti sukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2652
Kongsi :
Previous post Melaka FC ganti Melaka United, MUSA ditukar kepada MAFA
Next post Undi awal IPK Melaka lancar
Ubah saiz-+=