Melaka galakkan pemakaian pelitup muka di lokasi tumpuan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 9 Januari – Kerajaan Negeri menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan tumpuan dan tertutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata Kerajaan Negeri akan terus memantau kes harian COVID-19 di negeri itu sebelum memutuskan ketetapan kewajipan pemakaian pelitup muka.

“Setiap kali Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kita akan menerima laporan daripada Exco yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pandemik COVID-19.

“Dan menerusi MMKN lalu, kita telah mengeluarkan arahan berupa galakan memakai pelitup muka kepada orang ramai terutama pelancong apabila mereka ke tempat yang sesak dan tertutup.

“Setakat ini, kes di Melaka masih terkawal dan tidak berada di luar jangkaan,” katanya.

photo_2023-01-09_12-27-07
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menerima cenderahati dari Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Monumen Bendera Gergasi Bukit Beruang, Ayer Keroh di Kem Bukit Beruang, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Monumen Bendera Gergasi di Rejimen 514, Askar Wataniah Kem Bukit Beruang.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Penasihat Undang-undang Melaka, Datuk Abd Aziz Engan serta lain-lain kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) khas seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Januari lalu hanya dilakukan di pintu utama sempadan negara di Kuala Lumpur sahaja.

Jelasnya, bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap menggalakkan pelancong untuk memakai pelitup muka memasuki negeri itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1717
Kongsi :
Previous post ‘Zip line’ dijangka menyusul selepas siap Monumen Gergasi Bendera Melaka
Next post Op Kontraban: 23 ditahan, lebih RM27 juta barangan dirampas minggu pertama tahun ini
Ubah saiz-+=