Melaka Hari Ini percepatkan transformasi ke arah digital

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Media rasmi kerajaan negeri Melaka, Melaka Hari Ini (MHI) akan mempercepatkan transformasi ke arah digital bagi memastikan segala informasi dapat disebar kepada rakyat dengan lebih mudah dan pantas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, transformasi berkenaan antara salah satu daripada tiga strategi utama yang digariskannya dan mendapat sokongan ahli lembaga pengarah serta Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali selaku Pengerusi.

“Kita sedar zaman sudah berubah. Dunia kini dimonopoli digital media dan kami di pihak MHI perlu terima hakikat media tradisi seperti akhbar harian bukan lagi pilihan utama pembaca memandangkan informasi kini di hujung jari.

“Itulah sebab kita perlu mempercepatkan transformasi digital agar syarikat ini mempunyai digital footprint atau capaian lebih luas untuk menjana pendapatan melalui iklan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran wajah baharu MHI di Seri Negeri di sini hari ini.

Tambah Abdul Jalil, selain transformasi digital, pihaknya akan menyusun semula syarikat melalui pengurusan kewangan yang lebih cekap demi menjana pendapatan lebih tinggi selain memberi imej baharu kepada Melaka TV.

“Saya berharap dengan sokongan penuh kerajaan negeri, ahli Yang Berhormat, pengiklan dan pembaca, MHI akan menjadi jenama yang lebih kuat sebagai syarikat media ulung, teguh dan dinamik dalam menyebar berita dengan tepat, pantas, padat dan boleh dipercayai.

“Saya memberi komitmen penuh bahawa MHI akan terus menyampaikan informasi dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi negeri Melaka pasca Covid-19,” ujarnya.

Views:

928
Kongsi :
Previous post Kejayaan 100 hari hasil kerjasama semua – KM
Next post ESSZone di tujuh daerah Zon Selamat Timur Sabah dilanjutkan
Ubah saiz-+=