Sorting by

×

MELAKA LAKSANA PELAN JANGKA PENDEK PASTIKAN SUMBER AIR MENTAH MENCUKUPI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERI NEGERI 27 April – Kerajaan Negeri menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan beberapa langkah pelan jangka pendek bagi memastikan sumber air mentah di negeri ini sentiasa mencukupi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, antara usaha dilaksanakan setakat ini adalah menerusi operasi pembenihan awan menggunakan kaedah ‘hydroscopic flare’ di lembangan Sungai Kesang; Sungai Melaka; kawasan tadahan Empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan.

Selain itu, katanya turut dilaksanakan adalah mengepam 47 juta gelen air bersamaan 220 juta liter sehari dari Sungai Grisek, Muar ke Empangan Durian Tunggal dan permohonan tambahan 12 juta gelen juga sudah dibuat kepada Kerajaan Negeri Johor.

“Pengepaman air lima juta liter sehari dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Melaka melalui Padang Keladi; lima juta liter sehari dari Kolam Kesang 2 ke Sungai Melaka melalui Garing; pengepaman air dari Kolam Tebatan Banjir (KTB) Durian Tunggal dan KTB Krubong ke Sungai Melaka bagi meningkatkan paras Sungai Melaka.

“Selain itu, pengepaman air dari ‘Bunded Storage 2’ ke ‘Bunded Storage 1’ menggunakan pam sementara di Loji Bukit Sebukor; Melepaskan 220 juta liter air sehari dari Empangan Jus melalui ‘draw off tower’ bagi meningkatkan paras air Sungai Batang Melaka untuk pembekalan Loji Air Gadek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan mengenai usaha Kerajaan Negeri mengekalkan paras air empangan di Melaka oleh Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, Kerajaan Negeri turut melaksanakan sekatan terhadap pengepaman air ke skim pengairan sawah padi di semua rumah pam bagi memastikan petani hanya mengambil air pada kuantiti minimun bagi tujuan pengairan sawah padi.

Tambahnya, turut dilaksanakan pengepaman air 54 juta liter sehari dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal menggunakan pam ‘phoonton’ sementara untuk meningkatkan kapasiti Empangan Durian Tunggal.

“Kerajaan Negeri komited memastikan kelangsungan air di negeri ini menerusi langkah mengenal pasti kolam-kolam terbiar dalam rizab hutan, tanah Kerajaan Negeri dan individu untuk dipam ke badan air seterusnya ke Muka Sauk Loji di Taman Negeri dan Hutan Simpan Bukit Sedanan, Kolam Kesang dan Tasik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post EMPAT USAHA MELAKA PERKUKUH PENGELUARAN MAKANAN SENDIRI
Next post MELAKA PERUNTUK RM176.9 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT TAHUN INI