Melaka lancar Tabung Palestin, beri kebebasan NGO tunjuk solidariti

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 29 Oktober – Kerajaan Negeri memberi kebebasan kepada  mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menyatakan sokongan kepada Palestin.

Dengan tegas, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama, Ab Rauf Yusoh turut menyatakan solidariti Melaka dengan melancarkan Tabung Palestin dalam ucapannya.

Jelasnya, wang bantuan terbabit  akan dihantar terus ke Wisma Putra sebgai tanda sokongan dan bantuan kepada Palestin.

“Kerajaan Negeri tidak menghalang mana-mana NGO untuk menganjurkan perhimpunan bagi menyatakan rasa simpati kepada Palestin tetapi mestilah mengikut peraturan yang digariskan kerajaan.

“Saya mengalu-alukan seluruh rakyat Melaka bersama-sama pimpinan bahawa suara untuk rakyat Palestin ini mesti disuarakan sebanyak mungkin di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Mega Road Tour Himpunan Satu Juta Pembela Palestin, perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan, Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta kepimpinan Kerajaan Negeri lain.

Pada ucapannya, Ab Rauf turut menyampaikan beberapa rangkap puisi yang bertajuk Air Mata Palestin yang menceritakan suasana dan penderitaan rakyat negara bergolak terbabit.

Pada program terbabit, Yayasan Nurkasih daripada Fazil Group turut menyerahkan replika cek bernilai RM20,199 kepada Tabung Palestin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mempelawa masyarakat untuk menyumbang ke dalam Tabung Palestin sebagai tanda sokongan.

“Rakyat Melaka ramai (ada) tokoh-tokoh perniagaan,  walau seringgit daripada kita besar kepada mereka (Palestin), menyumbanglah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post Syukuri nikmat kebebasan dan ambil iktibar kemelut peperangan
Next post SKM Melaka komited tingkat koperasi baharu
Ubah saiz-+=