Melaka lapor kes Omicron pertama di negeri ini

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 26 Dis- Satu kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Melaka membabitkan seorang wanita warganegara yang baharu pulang dari mengerjakan umrah baru-baru ini.

Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, wanita berusia 34 tahun itu berada di negara Arab Saudi bersama suaminya serta ahli keluarga pada 4 Disember sehingga 15 Disember lalu.

Katanya, individu itu bertolak pulang dari Jeddah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dengan menaiki pesawat Saudi Airlines yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Dis lalu.

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah berkata, pasangan suami isteri itu telah menjalani ujian calitan PCR Covid-19 semasa tiba di KLIA sebelum pulang ke Melaka menaiki van persiaran yang disediakan agen umrah.

“Pada 18 Disember lalu, keputusan ujian PCR diperolehi menunjukkan inidividu itu telah disahkan positif Covid-19 dan dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit.

“Bagaimanpun pada Sabtu ( semalam) kes disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan individu itu telah dimasukkn ke wad isolasi Hospital Melaka (HM) untuk tujuan pemantuan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di pejabat Kesihatan Negeri Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, jemaah umrah yang turut serta dalam penerbangan itu dan sekiranya tidak dihubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap membuat kuarantin kendiri dan saringan Covid-19.

Menurut beliau, setakat ini terdapat sembilan kontak rapat yang dikesan termasuk lapan kontak rapat keluarga di mana enam berada di Melaka dan dua di Kuala Lumpur yang turut mengerjakan umrah bersama kes selain seorang kontak rapat kasual iaitu pemandu van agen umrah.

Ujar beliau, kesemua kontak rapat ini telah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari dan ujian swab PCR.

“Keputusan juga telah diperolehi dan lima daripada mereka disahkan positif Covid-19 termasuk empat individu di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka juga telah dirujuk untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka masih menjalankan siasatan lanjut dengan terperinci terhadap kes varian Omicron dan siasatan kontak rapat juga diteruskan untuk mengesan kesemua ahli kumpulan seramai 41 orang yang mengerjakan umrah bersama kes.

“Saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh KKM dan JKN Melaka untuk sebarang perkembangan rasmi kes Omicron ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1671
Kongsi :
Previous post PM Ismail Sabri lawat kawasan terjejas banjir di Hulu Langat hari ini
Next post Pasukan bencana Istana Negara bantu mangsa banjir di empat daerah di Selangor
Ubah saiz-+=