Melaka lokasi permulaan Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa 2024

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Melaka dipilih menjadi lokasi pertama bagi perlumbaan Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa Piala ASEAN (ACIR) pada 21 hingga 27 Oktober 2024 di Pantai Encore Kota Laksamana.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertandingan itu membabitkan penyertaan seramai 1,000 pelayar daripada 15 buah negara yang akan menamatkan perlumbaan di Shenzen, China.

“Aktiviti perahu layar ini akan menarik lebih ramai pemain industri sukan pelayaran datang ke Melaka, pertandingan ini adalah piala antarabangsa yang mana ia bermula di Melaka (Malaysia) – Kemboja – Okinawa (Jepun) – Shenzen (China).

“Pertandingan ini juga anjuran bersama Victoria Sailing Institute of Hong Kong yang secara tidak langsung memberi peluang kepada Negeri Melaka menceburi bidang baharu dalam sukan pelayaran.

“Saya harap peminat-peminat sukan perahu layar terutama di Malaysia boleh menimba pengalaman dan ilmu bagaimana pertandingan ini boleh menaikkan nama Melaka di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa Piala ASEAN (ACIR) pada 21-27 Oktober 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa Piala ASEAN, Law Kam Fai dan Setiausaha Agung Pertandingan, Roger Tan Wei Jian.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sukan perahu layar itu juga menjadi salah satu landasan untuk menggamit kehadiran pelancong dari seluruh negara datang ke Melaka.

“Saya jangka kira-kira lapan aktiviti dilaksanakan sepanjang tempoh pertandingan itu seperti ‘Regatta Village’, simulator pelayaran, festival muzik, festival budaya ASEAN dan lain-lain lagi.

“Kerajaan Negeri akan menyediakan segala prasarana dan keperluan untuk pertandingan ini, kita akan berikan galakan kepada semua peserta yang datang kerana ia julung kali Melaka dipilih sebagai tuan rumah dalam pertandingan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1281
Kongsi :
Previous post 46 cerucuk besi dipasang kawal pergerakan tanah di Puchong
Next post Polis nafi beri layanan istimewa kepada pegawai kanan polis
Ubah saiz-+=