Polis nafi beri layanan istimewa kepada pegawai kanan polis

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

IPOH, 18 Dis – Polis menafikan wujud layanan istimewa susulan kawalan ketat terhadap pegawai kanan polis yang didakwa Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata tindakan itu merupakan prosedur biasa dilakukan terhadap mana-mana orang kena tuduh (OKT) yang dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

“Ini merupakan prosedur biasa yang dikenakan terhadap OKT bermula diiringi anggota polis daripada lokap balai untuk dibawa ke mahkamah seterusnya ke hadapan hakim.

“Dalam kes ini OKT adalah pesalah biasa, kita tidak anggap berprofil tinggi pun cuma kes yang dihadapi menarik perhatian, jadinya kita perlu adakan kawalan yang ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, di sini hari ini.

Azizi berkata pihaknya memberi jaminan siasatan menyeluruh terhadap pegawai kanan berpangkat DSP dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu akan dilakukan secara adil dan telus.

“Ia juga sejajar dengan saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Buat masa ini tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif telah dibawa ke Kompleks Mahkamah Ipoh di sini hari ini, dalam keadaan dikawal ketat.

Kehadirannya bagi prosiding kes itu diiringi lima anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang berpakaian gelap dan memakai topeng muka. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Melaka lokasi permulaan Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa 2024
Next post Lebih 200 kakitangan diraikan pada Majlis Apresiasi UNIMEL 2023
Ubah saiz-+=