Melaka lulus usul wujud gelaran martabat dan bintang

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini, meluluskan usul kerajaan negeri mengenai perwujudan gelaran, martabat atau bintang iaitu Darjah Seri Paduka Setia Melaka (S.P.S.M); Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) dan Pingat Peringatan sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7.

Usul itu diluluskan melalui undian 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersetuju dan keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf  Yusoh.

Usul dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali itu, bagi menghargai, menyanjung tinggi dan mengiktiraf segala jasa serta pengorbanan seseorang individu kepada Melaka.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan suatu darjah baharu yang tertinggi antara Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Melaka sedia ada.

“Yang baharu dicadangkan ialah Darjah Seri Paduka Setia Melaka (S.P.S.M) yang hanya dianugerahkan kepada individu yang telah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Melaka atau yang setaraf dengannya.

“Selain itu, pingat baharu yang dicadangkan ialah Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) yang akan dianugerahkan kepada individu yang layak dalam perkhidmatan awam negeri atau individu yang layak dan banyak pula berjasa atau memberikan sumbangan bakti yang cemerlang kepada negeri ini.

“Khususnya ketika berdepan dengan musibah atau bencana alam yang besar, menyelamatkan nyawa atau pandemik yang sedang mengancam seluruh dunia, Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul tersebut pada hari ketiga Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, hari ini.

Ujarnya, sebagai memperingati pelantikan Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang merupakan anak jati pertama negeri ini dilantik Yang di-Pertua Negeri Ke-7 pada 5 Jun lalu, Pingat Peringatan itu akan dianugerahkan kepada individu yang terlibat secara langsung pada majlis pelantikan bersejarah tersebut.

Views:

349
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: Melaka fokus tambah baik struktur jalan raya, naik taraf produk pelancongan
Next post MOF cuba cara baharu agih peruntukan Belanjawan 2021
Ubah saiz-+=