MOF cuba cara baharu agih peruntukan Belanjawan 2021

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mempertaruhkan kaedah baharu dalam mengagihkan Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November depan.

Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lari dari kebiasaan, buat pertama kalinya pihak kementerian menggunakan pendekatan turun padang menerusi Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 di beberapa negeri yang terpilih.

Katanya, dengan cara ini pihaknya dapat mendengar sendiri masalah-masalah yang dihadapi sebelum mengkaji cadangan-cadangan yang diberikan untuk pembentangan Belanjawan 2021.

“Ini adalah kali pertama. Selalunya, untuk konsultasi belanjawan, kita akan bermula di Kementerian Kewangan sendiri. Tetapi untuk Belanjawan 2021, kita bermula di negeri-negeri.

“Saya rasa adalah baik untuk kami pergi ‘on the ground’ dan mendengar masalah-masalah yang dihadapi terutama memandangkan dunia sedang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Jadi dari situ, kita akan mengkaji cadangan-cadangan yang diberikan di pihak kementerian dan selepas itu kita akan ‘engage’ dengan semua kementerian yang berkaitan melalui apa jua cadangan yang dikemukan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang media selepas melakukan Jelajah Konsultansi Belanjawan 2021 di Melaka, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga komited untuk memantau keberkesanan setiap peruntukan yang telah diagihkan kepada rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Covid-19.

Jelasnya, dengan cara itu pihaknya dapat mengenal pasti sama ada peruntukan yang diagih memberi impak yang positif kepada rakyat ataupun tidak.

Views:

347
Kongsi :
Previous post Melaka lulus usul wujud gelaran martabat dan bintang
Next post TNB rugi angkara sindiket bitcoin
Ubah saiz-+=