TNB rugi angkara sindiket bitcoin

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Angkara tindakan tidak bertanggungjawab sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat pintasan elektrik haram, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka mengalami kerugian kira-kira RM640,000 sebulan.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka Ir. Khairizam Ibrahim berkata, anggaran kerugian itu diperoleh selepas pihaknya berjaya mengesan 16 premis yang dijadikan tempat sindiket berkenaan menempatkan komputer dan perkakas berkuasa tinggi bagi transaksi urusan itu.

“Hasil risikan dijalankan pihak kami mengenal pasti 16 premis yang dijadikan lokasi aktiviti perlombongan bitcoin yang membuat pintasan secara haram.

“Kita anggarkan kadar elektrik yang perlu dibayar mereka setiap bulan kira-kira RM40,000 namun ekoran pintasan haram dilakukan mereka hanya membayar dalam ratusan ringgit sahaja,” katanya.

NUR Ali melihat alatan bitcoin yang digunakan.

Menurut beliau, bagi mengekang tindakan itu daripada terus berleluasa pihaknya bersama dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan operasi Op Pengekangan kes penggunaan elektrik secara curang di sekitar kawasan pentadbiran MPHTJ.

Difahamkan, premis itu dijadikan tempat meletakkan berkomputer berkuasa tinggi dan alatan yang membolehkan transaksi bitcoin dilakukan selain beroperasi 24 jam.

Menurut Khairizam, tindakan sindiket itu dikesan selepas TNB menerima aduan awam mengenai gangguan elektrik di kawasan itu.

“Pemeriksaan lanjut dipremis itu juga mendapati meter elektrik turut diubah suai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Tenaga negeri Ir Nur Ali Omar berkata, pemilik premis yang didapati melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Views:

318
Kongsi :
Previous post MOF cuba cara baharu agih peruntukan Belanjawan 2021
Next post Melaka luluskan pembentangan Kertas Putih pelaksanaan DNA MyKad
Ubah saiz-+=