Melaka mahu jadi ‘kilang’ pemain sepak takraw

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Februari – Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Berhasrat menjadikan Melaka sebagai negeri pengeluar pemain-pemain sepak takraw bertaraf antarabangsa suatu hari nanti.

Yang Dipertua PASTAM Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah mempersiapkan sebuah ‘blueprint’ pelan pembangunan sukan berkenaan yang akan direncanakan dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya, PASTAM juga telah menandatangani beberapa pemain kebangsaan untuk beraksi bersama Melaka sepanjang tahun ini sebagai antara usaha untuk memajukan sukan sepak takraw di negeri ini.

Walaupun ada suara-suara nakal mempertikai tindakan mengambil pemain kebangsaan yang bukan berasal dari Negeri Melaka, namun Akramuddin menjelaskan PASTAM mempunyai perancangan sendiri yang mana pemain kebangsaan tersebut boleh dijadikan mentor kepada pemain pelapis yang akan digilap di peringkat sekolah.

“Insya-Allah kita akan menganjurkan klinik sepak takraw dan kita mahu menjadikan pemain kebangsaan ini sebagai mentor kepada mentee yang merupakan bakat-bakat baharu yang sedang digilap di sekolah-sekolah di negeri ini.

“Kita percaya ilmu dan tunjuk ajar kepada pemain muda ini penting kerana merekalah yang akan mewakili Negeri Melaka suatu hari nanti dan seterusnya menyarung jersi kebangsaan di persada antarabangsa.

“Apa yang penting, kita mahu menaikkan martabat sukan sepak takraw di negara ini agar ia setanding dengan sukan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan PASTAM Bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman.

Menurut Akramuddin, setakat ini terdapat empat buah sekolah di Negeri Melaka yang menjadi fokus PASTAM dalam menganjurkan klinik sepak takraw dan melahirkan atlet pelapis.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah (daerah Melaka Tengah); SMK Dato Dol Said (daerah Alor Gajah) dan SMK Sungai Rambai (daerah Jasin).

“Kita akan pergi ke sekolah-sekolah ini dan kita sasarkan untuk mewujudkan satu sekolah, satu regu. Kita juga akan adakan di peringkat daerah dengan bergerak ke kesemua daerah-daerah yang ada di negeri ini.

“Insya-Allah, klinik sepak takraw kita akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri dan dengan komitmen terbaik diberikan semua pihak, kita mungkin dapat menikmati hasilnya dua atau tiga tahun lagi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post Melaka kekal status negeri tawar harga rumah terendah
Next post Melaka angkat karya pelukis tempatan
Ubah saiz-+=