Melaka mesra pelancong, menggamit pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Pelbagai tarikan yang ada di Melaka menjadikan negeri ini kekal menjadi destinasi pilihan pengunjung dan pelancong.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir mendapati suasana di kawasan itu cukup meriah apabila dibanjiri pengunjung bukan sahaja dari dalam, bahkan luar negara.

Menurut pelancong Jepun, Minami Endo, 26, Melaka merupakan lokasi yang popular dan perlu disinggahinya apabila bercuti ke Malaysia.

“Saya ada buat beberapa carian mengenai Melaka dalam talian sebelum bercuti ke sini dan ternyata ia benar-benar menarik,” katanya.

Nada sama turut disuarakan rakannya juga dari Jepun, Nagisa Ebihara, 25 yang menyifatkan kunjungan singkat mereka ke Negeri Melaka memang berbaloi.

“Sudah pasti saya ke sini untuk melihat sendiri Bangunan Stadthuys, Air Terjun Ratu Victoria sambil sambil menikmati keindahan Melaka yang penuh sejarah. Setiap tempat saya dan rakan-rakan pasti akan bergambar,” katanya.

Img 20240608 173724 412
TIDAK lengkap bercuti ke Melaka tanpa membeli oleh-oleh untuk dibawa pulang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, seorang pelancong tempatan dari Shah Alam, Azam Abd Rahman, 59 berkata, dia dan isteri bercuti di Melaka kerana mengikuti rombongan alumni sekolah.

“Melaka menjadi destinasi pilihan kami alumni sekolah, yang turut serta kebanyakan rakan-rakan sudah berusia.

“Kami menginap di sekitar Banda Hilir, dan berkunjung ke Melaka ada dua buah bas, kira-kira hampir 80 orang dan pada saya Melaka merupakan negeri pelancongan yang selesa dan menarik.

“Erti kata lain, Melaka adalah negeri mesra pelancong, semuanya dekat-dekat. Dan saya juga tidak ketinggalan membeli cenderamata Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Kongsi :
Previous post ‘Satu tong cendol tak cukup, habis awal..’
Next post Mural Lorong Hang Jebat tanda kenangan
Ubah saiz-+=