MELAKA MILIKI KILANG PEMASANGAN MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 14 Oktober – Melaka menempa sejarah sebagai negeri pertama dalam Malaysia yang memiliki kilang pemasangan motosikal elektrik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kilang yang terletak di Ayer Keroh itu telah beroperasi sejak 2022 dan bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

Menurut Ketua Menteri, pada peringkat awal, sebanyak 1,000 unit motosikal elektrik dari jenama Lytron itu akan dipasarkan di Melaka dan Kerajaan Negeri menyasarkan pengeluaran sebanyak 50,000 unit setahun bagi jenama berkenaan.

“Memandangkan ini adalah syarikat pertama yang merintis pemasangan motosikal elektrik di Malaysia, jadi kita berharap ia dapat diperbesarkan lagi memandangkan dijangka pasaran motosikal ini lebih besar dari yang sedia ada.

“Di Melaka, kita sudah bersedia dengan tenaga kerja dari institusi-institusi TVET yang ada dan kita percaya lebih banyak peluang pekerjaan yang dibuka dalam sektor ini dapat dimanfaatkan oleh anak Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Motosikal Elektrik (EV) Lytron Malaysia di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pihaknya akan terus memberi galakan dan sokongan terhadap pelaburan dalam bidang Kenderaan Elektrik (EV) di Melaka, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadi hab pengeluaran EV terkemuka negara.

“Ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Kerajaan dalam mencapai Negara Rendah Karbon menjelang tahun 2040 melalui pembangunan EV.

“Saya juga melihat penggunaan EV ini adalah strategi tepat sebagai salah satu inisiatif yang komprehensif untuk menangani perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4799
Kongsi :
Previous post PERKEMAS KEPAKARAN, PENGALAMAN MENDEPANI ISU AKIDAH
Next post LEBIH 100 KENDERAAN ELEKTRIK BERDAFTAR DI MELAKA
Ubah saiz-+=