Melaka mohon kaji semula nilai ambang PPN untuk negeri

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Melaka sukar beralih ke fasa kedua sekiranya nilai ambang tiga indikator Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dikaji semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan jumlah peningkatan kes harian melebihi 114 kes setiap hari, Melaka dilihat sukar mencapai peralihan fasa seterusnya.

Malah katanya, hanya Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) sahaja menempatkan pesakit kritikal tahap empat dan lima, tidak seperti negeri lain seperti Johor yang mempunyai kelebihan lebih daripada satu hospital.

“Itulah satu (ICU HM), mana mungkin Melaka boleh selesaikan nilai ambang itu, nilai itu tidak tercapai.

“Jadi saya rasa kaji semula nilai ambang (PPN) untuk negeri kerana Melaka adalah negeri kecil.

“Alhamdulillah, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selalu Menteri Penyelaras PPN akan melihat kepada jumlah yang telah mendapat dos vaksin, kalau perkara itu menjadi pengukur, mungkin kita akan beralih ke fasa kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al-Alami di sini hari ini yang turut dihadiri Penasihat Agamanya, Datuk Kamarudin Sidek.

Beliau berkata, dengan penilaian semula indikator peralihan fasa seterusnya, beliau turut memohon kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan kebenaran rentas daerah bagi individu yang lengkap menerima dua dos suntikan.

“Saya maklumkan kepada Yang Berhormat Perdana Menteri, berikan kelonggaran kepada Melaka dan kalau boleh rentas antara daerah dibenarkan bagi mereka yang lengkap dua dos suntikan.

“Itu adalah salah satu cara kita dapat meningkatkan dan memulihkan industri pelancongan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post RM1 juta untuk bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL
Next post KPKT pertimbang elaun tambahan kepada bomba – Zuraida
Ubah saiz-+=