RM1 juta untuk bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyediakan bantuan kewangan RM1 juta bagi membantu menguruskan mayat warga tempatan selain Islam di Pusat Sehenti Sementara Hospital Kuala Lumpur (PUSARA HKL).

KPN berkata RM500,000 disediakan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat selain Islam kaum India manakala RM500,000 lagi di bawah Program Pembangunan Kampung Baru bagi pengurusan mayat selain Islam, kaum Cina.

“Bantuan kewangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan waris B40,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KPN berkata keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat, khususnya dari kalangan B40 dan kekurangan sumber manusia untuk menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris adalah antara punca kelewatan pengurusan mayat di PUSARA HKL.

Ini susulan tinjauan dan maklum balas yang diterima ketika Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turun padang untuk melihat sendiri situasi di PUSARA HKL pada Khamis lepas.

Katanya bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas berhubung proses pengurusan mayat di PUSARA HKL, KPN telah mengadakan mesyuarat dengan Pusat Krematorium swasta, Persatuan Perkuburan Cina dan India serta pengendali perkhidmatan pengurusan mayat.

KPN juga menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO), melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak PUSARA HKL.

“Datuk Halimah berharap melalui insiatif yang diambil oleh KPN MSDVI dan PRIVO ini akan dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Melaka cadang wujud program khas vaksinasi sektor pelancongan
Next post Melaka mohon kaji semula nilai ambang PPN untuk negeri
Ubah saiz-+=