Melaka mohon perkenan namakan Bazar Ramadan Peringgit sempena nama Raja Permaisuri Agong
BANDA HILIR 2 November – Kerajaan Negeri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamakan Bazar Ramadan Peringgit sempena nama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri telah berangkat mencemar duli ke bazar berkenaan sebanyak dua kali pada Ramadan tahun lalu dan tahun ini.
“Melaka memohon limpah perkenan untuk menyembah maklum cadangan ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagi menamakan Bazar Ramadan Peringgit sempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
“Ketika keberangkatan sulung Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri Melaka pada 17 Mei 2019, Baginda berkenan mencemar duli memasyhurkan perasmian Masjid Jamek Putra, Masjid Tanah kepada Masjid Al-Sultan Abdullah.
“Keberangkatan kali kedua Baginda pada tahun 2022 dan kali ketiga pada tahun ini, Baginda Tuanku berdua juga telah berkenan mencemar duli mengunjungi Bazar Ramadan Peringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Warisan dan Pelancongan, Lintasan Budaya Melaka-Pahang Tahun 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka di sini, semalam.
Terdahulu festival itu diserikan dengan kehadiran pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat tiba pada jam 8.45 malam.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.