Melaka mohon peruntukan RM2 bilion

0
557

AYER KEROH 9 Julai – Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan berjumlah RM2 bilion kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, permohonan tersebut merangkumi cadangan menjalankan beberapa projek untuk membangunkan fasiliti, kemudahan air dan pembentungan di Melaka.

“Daripada jumlah tersebut, RM1.3 bilion diperuntukan untuk enam projek di bawah agensi Bahagian Bekalan Air dan 11 projek melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai RM404.46 juta.

“Selain itu, ia turut merangkumi projek bernilai RM300 juta membabitkan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan.

“Justeru, kerajaan negeri amat berharap agar permohonan RMKe-12 yang telah dikemukakan kepada kementerian dapat dipertimbangkan dan diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ke Negeri Melaka hari ini.

Tambah Sulaiman, selain itu, kerajaan negeri turut memanjangkan mengenai permohonan tambahan membabitkan empat projek baharu bernilai RM255 juta kepada KASA untuk dipertimbangkan.

Jelasnya, permohonan projek baharu itu termasuklah membabitkan cadangan menggantikan paip air mentah dari Rumah Pam Gerisek ke Kolam Air Imbangan Mentah Durian Tunggal bernilai RM113 juta.

“Penggantian paip sejauh 72 kilometer ini amat penting kerana ia sudah berusia hampir 30 tahun dan mempunyai banyak kebocoran. Kos membaik pulihnya amat tinggi dan tidak mampu ditanggung kerajaan negeri.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk mendalamkan semula kolam Bunded Storage 1 melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta serta cadangan memindahkan air (Inter Basin Transfer) dari Sungai Rembau di Lubok China ke Sungai Melaka berjumlah RM74 juta.

“Manakala, satu lagi projek membabitkan cadangan pembinaan kolam takungan (TAPS) di Tebong dan sistem pengepaman ke Empangan Jus bernilai RM56 juta,” katanya.