Melaka mohon projek tebatan banjir di Sungai Putat, Durian Tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 10 Jan – Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di dua lagi kawasan yang sering berlaku banjir iaitu Sungai Putat dan Durian Tunggal.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, permohonan itu dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Di samping permohonan itu, katanya, kerajaan negeri juga akan menyegerakan pelan jangka pendek RTB di kawasan ‘hot spot’ utama banjir di negeri ini menerusi peruntukan segera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Selain itu, menurutnya, untuk tahun 2022, sebanyak 58 projek jangka pendek bernilai RM23.9 juta akan dilaksanakan berdasarkan kelulusan oleh Kementerian Kewangan dan Bajet pembangunan negeri.

“Selanjutnya, kerajaan negeri turut merakamkan terima kasih di atas kelulusan lapan projek untuk menyelesaikan isu banjir bernilai RM931.2 juta.

“Antara projek yang terlibat adalah RTB Sungai Melaka Fasa 1, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Merlimau dan naiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air, yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

“Saya amat berharap projek-projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh RMKe-12 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post Ekonomi di Melaka akan kembali pulih – KM
Next post Melaka tingkatkan inisiatif kurangkan kadar pengangguran
Ubah saiz-+=