Melaka tingkatkan inisiatif kurangkan kadar pengangguran

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 10 Jan – Kadar pengangguran di Melaka meningkat tiga peratus pada suku ketiga tahun lalu berbanding 2.2 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Berikutan itu, beliau berkata bagi mengatasi peningkatan kadar pengangguran di negeri ini, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan negeri selepas berbagai sektor ekonomi termasuk pelancongan dan pelaburan mula menunjukkan sinar positif.

“Kerajaan negeri telah mengadakan tiga siri Karnival Kerjaya di tiga daerah selain Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) dan Program
Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MYSTEP), yang mana mendapat
sambutan yang sangat menggalakkan.

“Program ini (MYSTEP) melibatkan penyertaan 95 majikan, yang dihadiri seramai 1,523 pencari kerja. Sehingga 30 Disember 2021, Alhamdulillah, lebih 300 orang rakyat Melaka telah ditawarkan pekerjaan dan 779 orang layak ke peringkat kedua temuduga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Karnival Kerjaya akan diadakan di kawasan luar bandar pada tahun ini.

“Konsep ini adalah untuk mendekati masyarakat yang berada di kawasan luar bandar mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Untuk itu, bagi menghargai UPEN, Institut Tun Perak (ITP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam penganjuran ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1016
Kongsi :
Previous post Melaka mohon projek tebatan banjir di Sungai Putat, Durian Tunggal
Next post Pembangunan tambak laut bantu sumbang hasil kerajaan negeri dari krisis pandemik
Ubah saiz-+=