Melaka negeri contoh penternakan akuakultur berjaya

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memuji langkah Melaka dan berharap negeri lain mencontohi kejayaan negeri ini dalam bidang akuakultur.

SUNGAI RAMBAI 4 Julai – Melaka dianggap sebagai antara negeri contoh dalam bidang penternakan akuakultur apabila berupaya menjadi antara pengeluar terbesar udang harimau di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kejayaan tersebut harus dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha memperkasakan bidang penternakan akuakultur yang kini penting sebagai antara penyumbang makanan laut.

“Sekarang kita ingin lihat sumber makanan laut melalui penternakan akuakultur ini menjadi satu sektor yang harus diperkasakan supaya ia dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada makanan laut di negara ini.

“Berdasarkan pengeluaran udang harimau yang dihasilkan di Melaka, saya melihat projek ini menjadi antara projek yang sangat berjaya memandangkan ia bukan sahaja menglibatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetapi juga mendapat usahasama yang baik daripada persatuan nelayan negeri ini.

“Semuanya hasil daripada pengurusan yang cekap dan perancangan teliti daripada semua yang terlibat. Jadi, saya berharap projek ini akan berterusan dan menjadi ikutan buat kawasan-kawasan dan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Penternakan Udang Harimau di Kuala Sebatu, di sini, pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, setakat ini terdapat tujuh projek penternakan akuakultur di Malaysia dan yang terbesar ialah di Sarawak.

Jelasnya, buat masa ini kebanyakan produk akuakultur lebih tertumpu kepada pasaran tempatan, namun pihaknya turut bercadang untuk mengeksport produk itu ke luar negara di masa akan datang.

Views:

945
Kongsi :
Previous post RM676.6 juta dibelanjakan bantu golongan tidak bernasib baik
Next post Pengurusan bencana perlu dikendalikan bersepadu supaya lebih efisyen
Ubah saiz-+=