Pengurusan bencana perlu dikendalikan bersepadu supaya lebih efisyen

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JOHOR BAHRU 4 Julai – Pengurusan bencana di negara ini perlu dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi pertahanan dan keselamatan, supaya tindakan di setiap peringkat menjadi lebih efisyen dan efektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, fokus dalam penggemblengan usaha antara agensi yang terlibat, khususnya dalam penggunaan aset terkumpul dari semua agensi berkaitan perlu diutamakan, bagi melaksanakan usaha menyelamatkan nyawa secara optimum.

“Kita lebih mahu kepada penggunaan aset terkumpul. Bila sebut bencana ia diuruskan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan kita mahu NADMA menguruskan aset  dengan lebih efisyen dengan menggunakan aset dari agensi lain yang terlibat.

“Kita mahu penggunaan aset dari semua agensi yang terlibat dalam pertahanan dan keselamatan mengumpulkan keupayaan yang ada daripada tentera, polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kalau tidak mencukupi kita akan kaji dengan kekuatan yang ada, jadi kita boleh guna dengan efisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Mohd Noh Ibrahim dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Dalam perkembangan lain Mohd Redzuan berkata, pihaknya mahu melihat lebih ramai golongan sukarelawan daripada golongan orang muda, terlibat dalam memberi perkhidmatan menerusi pengurusan bencana.

“Kita hendak lihat lebih ramai sukarelawan terutama anak muda, barisan pelapis untuk menyambung tugas agensi ini. Kita mahu mereka ke depan bantu bersama dalam usaha membantu memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 112 aset APM Johor terdiri daripada 14 lori, ambulan (13), pacuan empat roda (10), bot Sealegs (2) dan bakinya bot pelbagai jenis, boleh digerakkan ketika operasi menyelamat dan pemindahan awal banjir.

– BERNAMA

Views:

247
Kongsi :
Previous post Melaka negeri contoh penternakan akuakultur berjaya
Next post Kebuniti bantu komuniti jana pendapatan melalui pertanian bandar
Ubah saiz-+=