Melaka negeri sifar miskin tegar

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Melaka secara rasmi diisytiharkan mencapai status Sifar Miskin Tegar pada 28 Disember lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Atas kejayaan bermakna itu, Ketua Menteri merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua jabatan serta agensi menjayakan usaha itu.

Kata beliau antara agensi terbabit adalah Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Melaka, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Majlis Agama Islam Melaka(MAIM) selain semua Pejabat Daerah dan Tanah.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2023 lepas, Perdana Menteri ada menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan bagi menoktahkan miskin tegar di negara ini pada Disember 2023. Kerajaan Negeri juga telah bergerak selari dengan agenda Kerajaan Persekutuan.

“Alhamdulillah, bagi pihak Kerajaan Negeri, suka saya mengisytiharkan bahawa Melaka telah berjaya mencapai Sifar Miskin Tegar pada 28 Disember 2023.

“Inilah yang menjadi hasrat kita untuk melihat negeri ini terus maju jaya. Rakyatnya hidup bahagia dan kemakmuran negeri mampu menggamit dunia datang ke Melaka, berlandas semangat slogan, ‘Bijak Laksana Tuah’, ‘Berani Laksana Jebat,” katanya.

Photo 2024 01 12 11 28 17
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 oleh Ketua Menteri Melaka yang diadakan di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.

Menurut Ketua Menteri, sejak 2010 Melaka merupakan satu-satunya negeri yang telah berjaya mencatatkan sifar miskin tegar di negara ini.

Tambah Ketua Menteri, perkara itu adalah berdasarkan Sistem Pangkalan Data Bersepadu Isi Rumah Miskin (eKasih) diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

“Walau bagaimanapun, akibat peningkatan dalam kadar Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 yang mula diguna pakai bermula 1 Februari 2021,sebanyak 4,010 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar telah direkodkan di Melaka mulai tarikh tersebut.

“Melalui usaha-usaha bersepadu dan kerjasama mantap oleh agensi-agensi persekutuan dan negeri, akhirnya telah membawa pencapaian sifar miskin tegar di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Melaka fokus capai KPI 100 peratus tahun 2024 – KM
Next post UNIMEL tawar kos pengajian rahmah
Ubah saiz-+=