Sorting by

×

MELAKA PERGIAT KEMPEN TUKAR KAD OKU BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 5 Mei – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menerima sebanyak 474 permohonan penukaran kad Orang Kurang Upaya (OKU) baharu yang dilengkapi cetakan kod QR, sejak pelaksanaannya bermula April lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, jumlah itu menunjukkan sambutan menggalakkan daripada komuniti OKU terdiri daripada ahli Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Sekolah Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta orang awam.

“Kad OKU baharu ini diperkenalkan dengan reka bentuk yang lebih praktikal dan mesra pengguna serta menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkat.

“Paling utama, kad ini kini dilengkapi kod QR yang membolehkan pengesahan identiti dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan efisien oleh agensi kerajaan, pihak berkuasa dan institusi berkaitan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2025 05 05 at 14.30.08
HEBAHAN penukaran kad OKU baharu oleh JKM Melaka.

Mengulas lanjut Kalsom berkata bagi pemegang kad lama yang telah melengkapkan maklumat dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU), mereka tidak perlu lagi menjalani proses pengesahan semula.

“Mereka hanya perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran dengan membawa kad OKU lama dan sekeping gambar berukuran pasport jika perlu, untuk mendapatkan kad baharu bercetak kod QR.

“Pelaksanaan kod QR ini bertujuan mempercepatkan dan mempermudah proses semakan status OKU serta memberikan akses segera kepada perkhidmatan yang disediakan untuk golongan ini.

“Ia turut memberi jaminan bahawa maklumat yang terkandung adalah selamat kerana hanya boleh diakses oleh pihak jabatan atau agensi yang diberi kebenaran, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan data peribadi pemilik kad,” katanya.

Kalsom berkata bagi memastikan OKU yang tinggal di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada inisiatif ini, Kerajaan Negeri melalui JKM turut menjalankan kempen menyeluruh.

“Kempen ini melibatkan hebahan maklumat melalui Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Penerangan serta pelbagai platform digital seperti Facebook dan TikTok.

“Kempen penukaran kad ini turut dilaksanakan secara terus ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri Melaka, di samping pemakluman kepada semua klien jabatan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post DBP WILAYAH SELATAN – MELAKA HARI INI JALIN KERJASAMA MARTABAT BAHASA MELAYU
Next post TUN DR. MOHD ALI LANCAR BUKU ‘JEJAK HARAMAIN KE ISTANBUL’