Melaka perhalusi SOP pembukaan pasar terbuka, kedai gunting rambut dan salun

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Melaka sedang memperhalusi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung pembukaan salun dan kedai gunting rambut pada Rabu ini serta pembukaan pasar terbuka seperti pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Wilayah Persekutuan pada 15 Jun seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri amat mendengar akan keluh kesah rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19 terutama mereka yang kehilangan pendapatan termasuk peniaga pasar malam, pasar pagi, bazaria, kedai gunting rambut dan salun.

Beliau berkata biarpun kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas di samping prihatin dengan nasib golongan peniaga yang terjejas, namun sebagai sebuah negeri yang berasaskan pelancongan, kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan demi kepentingan semua pihak.

“Sehubungan itu, Taklimat Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka kepada Ketua Menteri Melaka serta Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri Melaka yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Yang Berhormat Datuk Seri Abdul Ghafar bin Atan akan diadakan pada Selasa, 9 Jun 2020 untuk memperhalusi SOP tersebut sebelum satu kenyataan rasmi akan diumumkan selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya kerajaan negeri berharap semua pihak dapat bersabar kerana sebarang keputusan yang akan dibuat kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak sama ada golongan peniaga yang terjejas mahupun masa depan ekonomi negeri Melaka sendiri.

Views:

620
Kongsi :
Previous post FAM perlu percepat musim 2021 MPFL – Casas
Next post Agong zahir harapan rakyat Malaysia kekal perpaduan
Ubah saiz-+=