Melaka perintis Kampung Digital – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 27 November – Melaka bakal menjadi negeri perintis memperkenalkan inisiatif Kampung Digital bermula Fasa Pertama pada Jun 2024 kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, inisiatif Kampung Digital bertujuan untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk kampung serta menjadikan pengurusan alamat rumah lebih sistematik.

Kata beliau, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan kajian dan penyelidikan berhubung Kampung Digital di enam penempatan di semua tiga daerah.

“Selepas ini semua rumah akan mempunyai kod QR yang bukan sahaja mengandungi butiran alamat sebaliknya lokasi kediaman berkenaan dan ini hanya terpakai dalam Negeri Melaka sahaja.

“Sekarang ini masih ada yang menggunakan alamat kedai runcit atau tempat awam bagi urusan surat-menyurat, kita sudah merdeka lama, jadi saya mengilhamkan Kampung Digital ini dengan menaik taraf sistem ‘delivery’ ini kepada orang kampung.

“Kalau menghala utara, rumah sebelah kanan alamat rumah bernombor genap, manakala rumah sebelah kiri menggunakan nombor ganjil, jadi kalau rumah itu ada lapisan dia akan jadi A,B,C,D dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’ pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Ab Rauf berkata, sebagai pelengkap kepada Kampung Digital Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mewujudkan Emel Khas Rakyat Melaka menggunakan domain @Melaka.my.

“Perancangan ini adalah kesinambungan kepada pelaksanaan Kampung Digital, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 250,000 akaun pengguna dalam fasa pertama.

“Inisiatif bagi emel khas ini akan bermula setelah semua kajian selesai dilaksanakan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1555
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka dapat bonus setengah bulan gaji
Next post Sewa percuma setahun usahawan mula berniaga di Pulau Melaka
Ubah saiz-+=