Penjawat awam Melaka dapat bonus setengah bulan gaji
Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat
SERI NEGERI 27 November – Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM2,000 kepada penjawat awam Negeri Melaka untuk tahun 2024.
Khabar gembira itu diumum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’, di sini, hari ini.
Katanya, bantuan khas itu akan disalurkan kepada semua penjawat awam negeri pada Februari dan Mac tahun depan.
“Ini sebagai menghargai jasa penjawat awam Negeri Melaka yang telah banyak memberikan kerjasama yang baik sepanjang lapan bulan saya mentadbir negeri ini.
“Mereka ini (penjawat awam) juga telah memberikan hasil-hasil kerja yang terbaik dan setelah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan, kita umumkan bonus berupa setengah bulan gaji atau minimum RM2,000,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut meneruskan pemberian awal ‘Award Wang Tunai GCR’ bagi penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas, dengan implikasi kewangan hampir RM1 juta.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan hampir RM178,000 bagi memanjangkan kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kakitangan lantikan Kontrak untuk Perkhidmatan (CFS) Jabatan Negeri, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
3735