Melaka perintis perkhidmatan Paramedik Komuniti – KM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 27 November – Melaka menjadi perintis kepada penubuhan perkhidmatan Paramedik Komuniti yang bakal memberikan manfaat kepada penduduk di 339 kampung di negeri ini bermula tahun hadapan.

Inisiatif itu merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, atas kemahuan beliau untuk melihat mereka dalam kecemasan menerima rawatan lebih awal sebelum dirujuk ke hospital.

Ketua Menteri berkata, dengan kekuatan tiga ahli paramedik di setiap kampung pastinya rakyat Melaka yang dalam kecemasan akan mendapat rawatan awal termasuk daripada segi sokongan moral sementara menunggu ketibaan ambulans bersama pegawai perubatan.

“Sebenarnya inisiatif ini adalah berdasarkan pengalaman diri saya sendiri yang hanya mampu melihat pesakit kanser dalam keadaan kesakitan sepanjang tempoh menunggu ambulans yang tiba lebih satu jam kemudian.

“Jadi timbul idea untuk laksanakan inisiatif ini, ahli paramedik dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) yang bergerak pantas menggunakan motosikal bakal menyediakan perkhidmatan rawatan kecemasan lebih awal.

“Malah ahli paramedik ini juga boleh menjadi pemandu arah kepada ambulans yang menuju ke lokasi kecemasan atau rumah pesakit,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

Ab Rauf berkata, ahli paramedik berkenaan akan dilengkapkan dengan peralatan dan ubat-ubatan mengikut keperluan serta akan menjalani latihan yang dikendalikan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau St John Ambulans Malaysia (SJAM).

“Selepas diberikan sijil baharu mereka layak menjadi ahli paramedik. Mereka ini juga akan dilatih mengenai asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan pembabitan sukarelawan dalam kalangan pegawai perubatan atau doktor.

“Menariknya perkhidmatan paramedik ini tidak hanya ditumpukan di kampung malah mereka ini akan digerakkan ke lokasi tumpuan pelancong seperti di Banda Hilir juga akan ada perkhidmatan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post JBS Melaka terima 64 permohonan baik pulih gelanggang futsal
Next post Penjawat awam Melaka dapat bonus setengah bulan gaji
Ubah saiz-+=