Melaka pertimbang insentif buat Aaron

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 3 Ogos – Kejayaan atlet badminton kelahiran Melaka, Aaron Chia menghadiahkan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini disifatkan satu kebanggaan untuk negeri ini.

Exco Pembangunan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, rentetan kejayaan itu kerajaan negeri bakal mempertimbangkan insentif khas kepada anak muda berusia 24 tahun itu.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebelum memutuskan bentuk insentif yang akan diberikan.

“Kita sedia maklum Aaron dan pasangan regunya mendapat pingat gangsa bagi negara kita yang merupakan pingat pertama bagi negara dan di pihak kerajaan negeri, kita berbangga dengan pencapaian rakyat Melaka.

“Insya-Allah selaku Exco bertanggungjawab, saya akan berbincang dengan Ketua Menteri untuk mempertimbangkan insentif sewajarnya sebagai tanda penghargaan bagi kerajaan negeri Melaka terhadap Aaron Chia yang telah mengharumkan imej dan nama negara kita.

“Kita percaya insentif dan pelbagai bentuk bantuan lain wajar diberikan di atas sumbangan tersebut dan pada masa sama ia diharap menjadi pemangkin kepada atlet pelapis lain untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Outreach Vaksinasi di Rumah Pesakit di Krubong, hari ini.

Sabtu lalu, Aaron bersama gandingannya Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama negara dalam temasya Olimpik Tokyo 2020.

Kejayaan itu diraih selepas menewaskan pasangan beregu lelaki Indonesia, Hendra Setiawan – Mohammad Ahsan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Motosikal edisi khas MUFC bakal dilancarkan – Justin
Next post UTeM terima 482 pelajar baharu peringkat diploma
Ubah saiz-+=