UTeM terima 482 pelajar baharu peringkat diploma

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

Oleh Nur Iliyana Zainis Zainal

DURIAN TUNGGAL 3 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merekodkan pendaftaran seramai 482 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian peringkat diploma pengambilan sesi 2021/2022 semalam secara dalam talian.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, UTeM terus menjadi pilihan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.

Jelasnya, pelajar terbabit mendaftar bagi lima kursus iaitu Diploma Kejuruteraan Electrik, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.

“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati ramai lepasan SPM kerana pengajian kejuruteraan ini terus relevan dan berkebolehpasaran tinggi selepas bergraduat dan turut mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliau menyatakan pelajar baharu ini mengikuti sesi perkuliahan Semester Khas Sesi 2021/2022 bermula hari ini secara dalam talian dengan mengambil kursus wajib universiti yang dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar, UTeM Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di UTeM mendapat sambutan baik dan menunjukkan trend UTeM terus menjadi pilihan lepasan SPM menyambung pengajian di peringkat diploma pada setiap tahun.

“Kursus Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma kejuruteraan Mekanikal terus mendapat permohonan paling pantas seawal permohonan dibuka di samping permohonan bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Diploma Kejuruteraan Elektronik turut memberangsangkan,” katanya.

Berhubung keputusan rayuan kemasukan pula katanya ia akan dikeluarkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) pada pertengahan Ogos ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1002
Kongsi :
Previous post Melaka pertimbang insentif buat Aaron
Next post Melaka terima 2,800 kit makanan dan 400,000 pelitup muka
Ubah saiz-+=