Melaka terima 2,800 kit makanan dan 400,000 pelitup muka

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Kerajaan negeri menerima lebih 400,000 pelitup muka dan 2,800 kit makanan daripada pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meringankan beban rakyat Melaka.

Turut diterima, sumbangan wang tunai RM162,000 daripada dua syarikat swasta untuk disalurkan ke dalam Tabung Bencana Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan semua lapisan masyarakat tidak terputus bekalan makanan ketika mendepani pandemik COVID-19.

Katanya, menerusi bantuan yang disalurkan pelbagai agensi sama ada kerajaan mahupun swasta, pihaknya akan memikul amanah untuk menyalurkannya kepada rakyat terkesan.

SULAIMAN (tengah) bersama Zaidi (dua dari kiri) dan Azmi (kiri) menerima 2,000 kit makanan dan wang tunai Tabung Bencana Negeri Melaka bernilai RM150,000 daripada Xinyi Glass Sdn Bhd.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan menyukarkan rakyat sehingga ada kalangan mereka yang kehilangan punca pendapatan, namun mahu tidak mahu kita semua perlu berdepan dengan dua krisis utama.

“Pertama krisis kesihatan dan kedua krisis ekonomi. Kedua-dua krisis ini bukan sahaja melanda negara dan Melaka malah terkesan di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, dengan bantuan dihulurkan pelbagai agensi ini sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat yang terputus bekalan makanan dengan memastikan ada makanan tersedia di atas meja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Face Mask dan Kit Makanan di kediaman rasminya di Seri Bendahara di sini.

SULAIMAN (tengah) bersama Zaidi (kiri) menerima kit makanan daripada Mohd Fadhil di kediaman rasminya di Seri Bendahara di sini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan agensi lain termasuk syarikat korporat untuk menyantuni rakyat.

“Kami sebagai pemegang amanah akan menyalurkan semua bantuan ini kepada golongan memerlukan dan terima kasih kepada penyumbang,” katanya.

Dalam program berkenaan, sebanyak 150 kit makanan disumbangkan MPJ, 300 daripada MPAG, 150 daripada Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Xinyi Glass Sdn Bhd (2,000), Tag Marine Sdn Bhd (200) dan A’Famosa Group (200).

Sumbangan pelitup muka pula disalurkan Prestige Waves Realty Sdn Bhd sebanyak 400,000 unit manakala pemberian wang tunai bagi Tabung Bencana Negeri Melaka sebanyak RM150,000 disumbangkan Xinyi Glass Sdn Bhd dan RM12,000 oleh Nexgram Biomedic Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post UTeM terima 482 pelajar baharu peringkat diploma
Next post Orang ramai diminta bersama kumpul dana bantu 90 keluarga penarik beca
Ubah saiz-+=