Orang ramai diminta bersama kumpul dana bantu 90 keluarga penarik beca

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Kelab Anak Muda Relawan memohon jasa baik orang ramai bagi bersama menghulur bantuan buat penarik beca Melaka berikutan terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Muhammad Rahman Muhamad Sanusi berkata, pihaknya menyasarkan dana diperlukan kira-kira RM5,000 untuk dihulurkan buat 90 keluarga penarik beca di negeri ini.

Jelasnya, setiap dana yang dikumpul akan ditukar dalam bentuk kit makanan buat keluarga terlibat.

MUHAMMAD RAHMAN.

“Kelab kami akan menghulurkan bantuan kit makanan bernilai sekurang-kurangnya RM60 untuk satu keluarga dan ia akan diagihkan pada 28 Ogos ini.

“Agihan akan dijalankan ke beberapa rumah terpilih yang mana ada penarik beca yang uzur yang memerlukan bantuan sampingan seperti susu formula, lampin pakai buang serta pelbagai lagi.

“Selebihnya (kit makanan) akan diagihkan persatuan dan diletakkan sementara di stor beca di Bukit Cina bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Muhammad Rahman, dana bagi menghulurkan bantuan berkenaan perlu dikumpul sebelum 10 Ogos depan dan pihaknya menyeru orang ramai tampil menjayakan program itu.

“Kita harap kerjasama penduduk di negeri ini untuk bersama membantu duta pelancongan negeri ini yang kehilangan punca pendapatan akibat tidak beroperasi sejak berbulan lalu.

“Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi saya di talian 019-970 2994 atau Farhanah di talian 011-3533 7314 dan bantuan juga boleh dihulurkan menerusi akaun Maybank Kelab Anak Muda Relawan dengan nombor 5541 2954 7848,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1705
Kongsi :
Previous post Melaka terima 2,800 kit makanan dan 400,000 pelitup muka
Next post Mesej fitnah, hina istana dan pemimpin, boleh gugat kestabilan negara-Zahidi
Ubah saiz-+=