Mesej fitnah, hina istana dan pemimpin, boleh gugat kestabilan negara-Zahidi

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Mesej fitnah dan tidak sahih terutama berunsur menghina pihak istana dan pemimpin yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara hendaklah dihentikan, tegas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Ada WhatsApp dan Facebook menghina raja… benda-benda ini kita harap kalau boleh kita tak nak ambil tindakan. Di luar negara, kebanyakan negara kalau hina pemimpin atau istana, contohnya di United Kingdom, dia ‘block’ sebulan… Whatsapp, Facebook dan sebagainya.

“Di Malaysia ini kita terbuka, tetapi janganlah atas sikap terbuka kerajaan ini maka diambil kesempatan. Sebab negara kita hadapi krisis ekonomi… kesedihan rakyat, ekonomi, orang tak boleh bekerja. Kalaulah kita terus mencipta masalah, ketidakstabilan maka kita terpaksa ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zahidi mengesahkan bahawa surat didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada perdana menteri berkenaan Ordinan Darurat yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu adalah palsu.

“Tidak betul…yang surat pertama itu sah bahawa Yang di-Pertuan Agong dukacita, tapi surat selepas itu ada yang tidak betul dan ditambah-tambah… Sudah ada laporan polis yang dibuat.

“Ada Ahli Parlimen yang mengeluarkan dokumen palsu, kita ada bukti tetapi kita tidak mahu ambil tindakan tapi kalau nak cabar kerajaan, maka kita terpaksa ambil tindakan. Kita boleh ambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu, Srikandi Bersatu hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran surat tersebut.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Mastura Mohamad yang membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya menyifatkan penularan surat itu sebagai tindakan yang amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berkaitan hubungan antara pihak istana dan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat Srikandi Bersatu itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Orang ramai diminta bersama kumpul dana bantu 90 keluarga penarik beca
Next post Hazani pengarah KDNKA Bukit Aman berkuat kuasa 6 September
Ubah saiz-+=