Melaka promosi TMM2024 di tiga negara Asean

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KESIDANG 17 September – Siri jelajah promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diperluas di tiga negara Asia Tenggara pada minggu depan, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut beliau, tiga negara itu ialah Brunei, Indonesia dan Kemboja yang mana ia akan membabitkan tiga kumpulan ke negara berkenaan.

Jelas beliau, antara program yang akan diadakan di tiga negara itu dalam menggamit kehadiran pelancong ialah pembukaan gerai pameran, selain memperkenalkan promosi menarik buat penduduk negara berkenaan.

“Selain membuka gerai pameran, kita juga akan memperkenalkan pakej pelancongan menarik untuk penduduk negara berkenaan yang mahu menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

“Apa yang pasti TMM2024 ini bakal membawa kelainan berbanding penganjuran terdahulu dan kita akan terus memperhebatkan promosi sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 di Limbongan, di sini, dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Sa’ari Basiron dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, dengan kepelbagaian pengisian program, selain kerancakan promosi TMM2024, beliau percaya sasaran 18.7 juta pelancong pada tahun depan mampu dicapai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post 3 acara pelancongan serikan pra TMM2024
Next post 10 kampung bergotong-royong jayakan kenduri rakyat
Ubah saiz-+=