3 acara pelancongan serikan pra TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KESIDANG 17 September – Sekurang-kurangnya tiga acara pelancongan utama bakal mewarnai pra Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada hujung tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan 64 acara pelancongan yang dirancang pada tahun ini sebelum ketibaan TMM2024.

Katanya, antara acara yang dijangka menjadi tumpuan ialah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 pada 29 September hingga 1 Oktober ini bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Selain itu, turut bakal diadakan ialah Festival Warisan & Pelancongan Melaka-Pahang pada 14 dan 15 Oktober 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir.

“Manakala pada 25 November depan pula akan diadakan Karnival Beca Melaka 2023 di Kompleks Sejarah, Banda Hilir.

“Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri telah merancang melaksanakan 64 acara pelancongan sepanjang tahun ini, di mana 13 daripadanya adalah acara pelancongan utama bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 di Limbongan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin.

Turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Sa’ari Basiron dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas mengenai festival berkenaan, Ab Rauf berkata, ia merupakan sebahagian daripada acara yang dirangka bagi mempromosikan TMM2024.

Katanya, seramai 50 peserta mengambil bahagian yang bukan sahaja membabitkan peserta tempatan bahkan peserta antarabangsa dari Indonesia, Singapura dan China.

“Saya berharap, penganjuran program seperti ini dapat diteruskan dengan skala lebih besar pada tahun akan datang dan kawasan Limbongan, Klebang ini dicadangkan dapat dijadikan lokasi tetap bagi penganjuran program ini dengan penyertaan domestik dan antarabangsa.

“Ia sekali gus membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post Festival Layang-Layang TMM2024 lebih besar, meriah
Next post Melaka promosi TMM2024 di tiga negara Asean
Ubah saiz-+=