Melaka punyai potensi pengeluaran beras wangi

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SUNGAI RAMBAI 12 Sept.  – Melaka mampu menjadi negeri jelapang padi dan perintis kepada pengeluaran beras wangi di negara ini berikutan beberapa kawasan tanah sawah yang bersesuaian untuk menjalankan penanaman padi jenis itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata negeri ini mempunyai potensi untuk menghasilkan padi wangi dan beberapa kawasan yang bersesuaian kini dikenal pasti untuk dibangunkan bagi tujuan itu.

Katanya, antara kawasan yang sesuai dijadikan perintis untuk penanaman padi wangi adalah di kawasan Sungai Rambai.

“Kita mengenalpasti beberapa kawasan untuk dijadikan di Melaka khususnya di gerbang Selatan ini untuk kita jadikan jelapang padi di Melaka.

“Jadi kita mulakan dulu sama ada beras wangi atau padi wangi dan kita mulakan dulu di Sungai Rambai,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk penghasilan tanaman padi di kawasan lain sekiranya terdapat perkembangan yang positif terhadap penanaman itu.

“Sekiranya Sungai Rambai menampakkan kemajuannya nanti baru kita akan guna kawasan lain.

“Hari ini kita lihat banyak kawasan sawah terbiar kita bangunkan sebelum ini untuk penanaman padi tapi perintis penanaman itu adalah di sini (Sungai Rambai),” katanya.

Views:

329
Kongsi :
Previous post Sulaiman tinjau pembangunan Sungai Rambai
Next post Gerbang Selatan akan diaktifkan kembali – Ketua Menteri
Ubah saiz-+=