Gerbang Selatan akan diaktifkan kembali – Ketua Menteri

SUNGAI RAMBAI 12 Sept. – Gerbang Selatan iaitu Daerah Kecil Sungai Rambai yang dibatalkan kerajaan terdahulu sejak dua tahun lalu akan diaktifkan semula menjelang hujung bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata bagi peringkat awal, Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai akan beroperasi terlebih dahulu disusuli beberapa perkhidmatan membabitkan agensi kerajaan.

Katanya, menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terdahulu, beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan supaya tidak membiarkan bangunan pejabat daerah itu umpama projek ‘gajah putih’.

“Saya dimaklumkan beberapa struktur dalaman bangunan mula diperbaiki setelah peruntukan diperolehi.

“Ia dijangka beroperasi secepat mungkin di mana rakyat boleh berhubung dengan agensi kerajaan yang ditempatkan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman.

Sementara itu, bagi pembangunan Aerodrome Sungai Rambai, Sulaiman berkata padang terbang itu turut akan dinaik taraf bagi merancakkan kembali kawasan itu dengan pelbagai aktiviti.

“Saya melihat potensi Aerodrome ini supaya ia diwujudkan kembali kerana suatu ketika dahulu ia digunakan oleh golongan belia untuk melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

Untuk rekod, kos menaik taraf pembangunan daerah kecil itu membabitkan kos bernilai RM2.5 juta dan proses naik taraf kawasan itu akan dilakukan secara berperingkat.

Views:

2

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Melaka punyai potensi pengeluaran beras wangi
Next post Kerajaan negeri teliti kaedah terbaik tangani hakisan pantai