Sulaiman tinjau pembangunan Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SUNGAI RAMBAI 12 Sept. – Meskipun memiliki jadual yang padat, Ketua Menteri  Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali turun ke lapangan bagi melihat sendiri potensi pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai selain menyelami permasalahan rakyat di kawasan itu.

Seawal pagi, lawatan Sulaiman ke DUN berkenaan dimulakan dengan solat Subuh bersama rakyat di Masjid Al Hasanah Sungai yang diimamkan Ustaz Haji Dhalan Suwamin sebelum beliau membacakan bacaan khutbah subuh.

Sejurus selepas itu, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman mengunjungi Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai dan mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasan itu.

Sulaiman kemudian turut meluangkan masa melawat Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai bagi meninjau persekitaran pejabat di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Jasin itu.

Pada lawatan itu, beliau diberi penerangan oleh ADUN kawasan dan Pegawai Daerah, Datuk Anis Ali Hasan mengenai penyelenggaraan bangunan yang akan dijalankan sebelum pejabat daerah kecil itu beroperasi.

Ketua Menteri turut melawat kediaman Sarip Jais yang berusia 72 tahun di Kampung Parit Penghulu dan sempat bertanya khabar mengenai keadaan pesara guru itu.

Beliau dalam kunjungan itu turut menyampaikan sumbangan dan buah tangan kepada keluarga Sarip.

Usai lawatan itu, beliau kemudian bersarapan di Warung Noriah di Kampung Parit Penghulu Benteng sebelum beransur pulang.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Apek puas hati pungut satu mata
Next post Melaka punyai potensi pengeluaran beras wangi
Ubah saiz-+=