Melaka pusat latih pemandu profesional

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER MOLEK 15 Januari – Negeri Melaka kini memiliki Litar Latihan dan Ujian Memandu paling lengkap di Malaysia yang dibina di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan itu menjadikan Negeri Melaka sebagai pusat membekalkan pelatih dan juru uji pemanduan di Malaysia dalam melahirkan pemandu yang berhemah.

Menurut beliau, litar bernilai RM2.5 juta di tapak berkeluasan 2.02 hektar itu mula dibina pad 14 Disember 2021 dan siap sepenuhnya Julai 2023.

“Melaka menjadi negeri di Malaysia yang membekalkan pelatih-pelatih dan juru uji yang akan menjadi penilai kepada pemandu-pemandu baharu di Institut Memandu seluruh negara.

“Saya berharap mutu latihan di sini bertaraf antarabangsa, sekali gus melahirkan pengguna jalan raya yang cekap dan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Nor Fuad Abdul Hamid; Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pembinaan litar itu juga mampu meningkatkan kapasiti dan standard kompetensi berdasarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia kepada modal insan industri pengangkutan jalan.

“Kerajaan Negeri berharap peranan kemudahan serba lengkap dan canggih ini dioptimumkan untuk program melibatkan jaringan industri khususnya dengan institusi-institusi berkaitan Pendidikan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ada di Melaka,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JPJ, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Perjanjian itu membabitkan usaha menjadikan akademi itu sebagai Pusat Kecemerlangan Sektor Pengangkutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2192
Kongsi :
Previous post 70 peratus individu jalani rehabilitasi kembali bekerja
Next post Banyak mata tertumpu kepada skuad Harimau Malaya di Qatar
Ubah saiz-+=