70 peratus individu jalani rehabilitasi kembali bekerja

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Januari – Seramai 15,214 individu menerima rawatan rehabilitasi secara holistik di Pusat Rehablitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) setakat ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata daripada jumlah itu kira-kira 70 peratus daripada individu berkenaan berjaya pulih sepenuhnya dan kembali bekerja.

“Ini adalah pusat rehabilitasi pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional sejak Oktober 2014 sehingga sekarang.

“Secara purata dua daripada tiga individu yang menjalani rawatan rehabilitasi secara holistik di pusat milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya pulih.

“Ini manifestasi kementerian dalam memperjuang kebajikan pekerja di Malaysia bertepatan dengan tiga indikasi utama Kementerian Sumber Manusia (KSM) merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja, peningkatan kemahiran dan keberhasilan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di PRPTAR di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee sem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Steven berkata perkhidmatan di PRPTAR bukan hanya untuk mencarum Perkeso sahaja, sebaliknya dibuka kepada mereka yang membiayai sendiri kos rawatan.

“Sejak 2014 kita nampak pusat ini memang memberikan manfaat positif terutamanya kepada pencarum, tetapi ada juga bukan pencarum iaitu warga dari Australia yang sanggup datang ke sini untuk dapatkan rawatan.

“Disebabkan kemudahan yang ada di pusat rehabilitasi ini sangat canggih jadi dia pilih untuk datang ke sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post Peniaga maut motosikal dirempuh pacuan empat roda
Next post Melaka pusat latih pemandu profesional
Ubah saiz-+=