Melaka rancang bina sistem kereta api Maglev hubung ‘hotspot’ pelancongan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 18 November – Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan sistem pengangkutan kereta api Maglev sejauh 22 kilometer bagi menghubungkan lokasi pelancongan di sekitar bandar Melaka menjelang tahun 2024.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata bagi permulaan mencapai perancangan itu, Kerajaan Negeri menjalin usaha sama serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat KCI Metrolink Sdn Bhd dan Melaka Melaka Taming Sari Bhd (MTSB).

“Yang ditandatangani MoU di Hotel Muzaffar Selasa lepas adalah persefahaman, maknanya ia adalah langkah pertama antara KCI Metrolink dan MTSB untuk mengadakan sistem kereta api maganetik yang menghubungkan semua tempat ‘hotspot’ pelancongan di Negeri Melaka.

“Ini salah satu perancangan sebenarnya untuk memajukan sektor pelancongan,” katanya pada sidang media di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) di Kota Cemerlang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan lokasi tertentu jaringan laluan kereta api tersebut buat masa ini kerana perlu meneliti Penilaian Impak Trafik (TIA) terlebih dahulu.

Katanya, tujuan perancangan untuk membangunkan sistem pengangkutan itu adalah untuk menghubungkan lokasi pelancongan dan bukannya menambah kesesakan jalan raya di Melaka.

“Jadi kita kena tengok betul-betul mana laluan yang sesuai dan tidak semestinya menggunakan laluan tram yang lama atau kemungkinan (bina laluan) baharu, kita tidak tahu lagi.

“Apa yang penting apabila kita memeterai MoU itu, syarikat telah ada sedikit sebanyak pemahaman sama ada antara syarikat itu dan pihak bank (serta) mereka memerlukan sokongan bagi ‘the preliminary’ (pendahuluan) termasuk pembinaan kawasan tertentu bagi tujuan sistem sokongan elektrik kerana kereta api itu adalah 100 peratus bergantung kepada bekalan elektrik.

Beliau berkata, mengikut perancangan awal dan sekiranya semua usaha itu berjalan lancar, pembinaan sistem kereta api magnetik itu dijangka bermula pada tahun 2024.

“Kita merencanakan dari segi optimistik dan semuanya berjalan lancar, perlu tandatangani perjanjian dan syarikat bertanggungjawab mengemukakan pelan tata atur lokasi ‘hotpsot’ bagi tujuan pengambilan balik tanah serta bagi tujuan struktur pembinaannya.

“Saya rasa kalau semua berjalan lancar, dua tahun sahaja ‘approval’ (kelulusan) boleh diperolehi dan dua tahun lagi tujuan pembinaan… pada saya kemungkinan besar projek ini boleh berjalan pada tahun 2024,” katanya.

Selasa lalu diadakan majlis memeterai MoU Bagi Cadangan 22KM Sistem Maglev untuk Menghubungkan Lokasi Hotspot Pelancongan dan Membangunkan Taman Tema Disneyland serta Disneycity di Negeri Melaka di sebuah hotel di sini yang turut dihadiri beberapa agensi dan syarikat iaitu MTSB; KCI Metrolink Sdn Bhd; Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan syarikat Korea Camping Caravanning Federation Adivisional Corporation serta Institusi Perbankan (Exim Credit Dubai Zurich Capital Bank & Sparco Bank UK)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2480
Kongsi :
Previous post Lebih banyak insentif untuk penjaja, peniaga kecil – PM Ismail Sabri
Next post Muhammad Jailani tampil beri penjelasan isu Disneyland
Ubah saiz-+=