Melaka rancang bina terowong dasar laut – Sulaiman

Masa Membaca:56 Saat

DUBAI, 14 Mac – Kerajaan negeri merancang untuk membina sebuah terowong dasar laut bagi rangkaian sistem rel yang menghubungkan Melaka dan Dumai di Indonesia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, mengikut perancangan terowong berkenaan akan dibina merentasi Selat Melaka.

“Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai adalah 47 kilometer,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia, hari ini.

Mengulas perkara sama EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong berkenaan.

Beliau berkata, projek itu bagaimanapun memerlukan persetujuan dan kelulusan daripada kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.

“Firma daripada Malaysia hanya mampu menampung 50 peratus daripada kos keseluruhan projek.

“Jika semuanya berjalan lancar pembinaan terowong berkenaan akan mengambil masa empat ke lima tahun,” katanya.

Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi bagi negeri Melaka.

Ketika ini ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan, namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1490
Kongsi :
Previous post Pengawal keselamatan direman bantu siasatan penemuan mayat wanita rentung
Next post KPDNHEP Melaka keluarkan kompaun RM18,600 bagi tempoh Januari hingga Mac
Ubah saiz-+=