Sorting by

×

Melaka sasar 10 produk pelancongan baharu setiap tahun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 12 Januari – Melaka bakal memperkenal 10 produk pelancongan baharu pada setiap tahun.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim berkata, produk yang sedang dirangka itu bakal menjadi sasaran utama Melaka memandangkan sektor pelancongan merupakan nadi ekonomi negeri ini.

Katanya, pengenalan produk-produk itu sekali gus bakal memacu pelancongan, sekali gus memberi pulangan hasil kepada ekonomi negeri pada tahun-tahun mendatang

“Kita memang mengharapkan supaya tahun 2023 ini terdapat peningkatan terutama membabitkan hasil dalam negeri ini.

“Kedua kita sedang berusaha membangunkan produk pelancongan baharu sebab Melaka kekuatannya adalah kepada industri perkhidmatan khususnya dalam sektor pelancongan.

“Kita menetapkan supaya setiap tahun kita cuba mewujudkan sekurang-kurangnya 10 produk pelancongan baharu bagi memberi pilihan dan variasi kepada pelancong untuk datang ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas bersama menghadiri program lawatan ke Pusat Ekotourism Paya Lebar, di sini, semalam.

Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi memperkasa perkhidmatan penjawat awam di negeri ini beberapa pelan strategik telah dirangka demi memastikan hasrat di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) mampu dicapai sewajarnya.

Katanya, beberapa penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) telah dibentangkan dan perlu menjadi pedoman dalam kalangan penjawat awam bagi memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Bagi menuju ke negeri pintar kita telah ada beberapa garis-garis pelan tindakan yang perlu dilaksanakan pada tahun ini dan berharap ia perlu menjadi rujukan dan perlu dijayakan oleh semua kakitangan di mana-mana jabatan dan agensi penjawat awam di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2140
Kongsi :
Previous post Paya Lebar, macam-macam ada
Next post Mayat lelaki dalam guni ditemukan di Klang
Ubah saiz-+=