Melaka sasar jadi negeri pelancongan pertama pulih COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 April – Melaka menyasarkan untuk menjadi negeri pertama pulih daripada pandemik COVID-19 dan kembali menjadi tumpuan pelancongan sedikit masa lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali percaya sasaran itu boleh dicapai sekiranya tidak kurang 70 peratus rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19 sekali gus membolehkan pintu sempadan negeri dibuka semula.

Begitupun, beliau meminta semua pihak khususnya penggiat industri pelancongan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu terus diutamakan agar Melaka bebas daripada gelombang baharu pandemik COVID-19.

SULAIMAN ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan One-off Kerajaan Negeri Melaka kepada 199 penggiat industri pelancongan.

“Saya yakin, industri pelancongan akan pulih seperti sedia-kala dan kita akan menjadi negeri terawal pulih dalam sektor pelancongan. Ini harapan saya dan seluruh rakyat negeri Melaka.

“Kalau semua boleh patuhi SOP dan tidak kurang 70 peratus rakyat Melaka menerima suntikan vaksin COVID-19 saya percaya ia boleh direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan One-off Kerajaan Negeri Melaka kepada 199 penggiat industri pelancongan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka Yeow Chin Chai dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, 500 pengusaha dan produk pelancongan di negeri ini telah menerima pensijilan patuh dan amal prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Negeri Melaka yang dianjurkan BPP dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menurutnya, pensijilan itu penting dalam meningkatkan lagi tahap keyakinan pelancong untuk mengunjungi Melaka apabila pintu sempadan dibuka semula nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Kes puasa: majikan, pembantu peribadi mengaku tidak bersalah
Next post Melaka wajibkan guna sistem kupon di pasar Ramadan
Ubah saiz-+=