Melaka sedia 2,000 peluang pekerjaan dalam karnival kerjaya 10 April depan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MASJID TANAH 5 Mac. – Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka yang bermula di Kompleks Sukan Masjid Tanah (daerah Alor Gajah) pada 10 April depan bakal menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Karnival sehari itu anjuran kerajaan negeri menerusi Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan, bahkan turut merangkumi kaunseling kerjaya, ujian psikometrik, sesi ‘grooming’, kursus usahawan dan gig ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif ITP Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, lebih 40 majikan akan menyertai karnival kerjaya pertama diadakan tahun ini, selain turut menampilkan Datuk Rosyam Noor sebagai penceramah jemputan dalam kursus keusahawanan yang diadakan sesi sebelah pagi.

DR SABRI melawat tapak Karnival Kerjaya Daerah Alor Gajah yang akan diadakan di Kompleks Sukan Masjid Tanah 10 April depan.

“Kita juga akan menampilkan penceramah lain yang terdiri dalam kalangan usahawan berjaya dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan juga menyediakan khemah pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga institut pengajian tinggi (IPT) bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

“Selain itu, peluang pekerjaan secara sambilan menerusi gig ekonomi juga disediakan yang mana kita akan menampilkan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan seperti Food Panda dan Grab untuk membantu rakyat negeri ini mempelajari cara memulakan pekerjaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak karnival berkenaan di Kompleks Sukan Masjid Tanah yang turut disertai agensi terlibat.

Jelasnya, bagi penganjuran pertama di daerah Alor Gajah ini, pihaknya menyasarkan 3,000 peserta mengambil bahagian dalam karnival diadakan bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang itu .

“Karnival pertama diadakan di daerah Alor Gajah dan selepas ini kita akan bergerak ke daerah Melaka Tengah yang mana kita bercadang untuk mengadakannya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada pertengahan tahun.

“Pada penghujung tahun pula, kita bercadang untuk menganjurkannya di UiTM Jasin atau Politeknik Jasin. Apapun, semuanya bergantung kepada arahan semasa kerajaan nanti,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, seramai kira 5,000 pencari kerja telah hadir menyertai Karnival Kerjaya Penjana yang dianjurkan PERKESO dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam karnival itu, seramai 1,073 orang telah mendapat pekerjaan, dan hampir 900 orang lagi dipanggil untuk sesi temu duga kali kedua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1633
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali rai sambutan Hari Tentera Darat ke- 88
Next post Bomba guna dron dilengkapi kamera thermal, selaras operasi padam kebakaran hutan
Ubah saiz-+=