Melaka sedia buka pusat kuarantin jika perlu

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MELAKA TENGAH 30 Julai – Melaka bersedia untuk membuka semula pusat kuarantin bagi menempatkan individu yang baharu pulang dari luar negara untuk dikuarantin wajib selama 14 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata setakat ini bagaimanapun belum ada keperluan untuk membuka semula pusat kuarantin di negeri ini.

Katanya, ini berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memfokuskan pusat kuarantin di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tetapi kita bersedia jika berlaku lebih individu yang perlu dikuarantin dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, selepas itu baru kita bawa ke Melaka (jika perlu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ops Hari Raya AidilAdha Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini.

Beliau berkata terdapat tiga pintu masuk antarabangsa di negeri iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM),Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka dan Pelabuhan Kuala Linggi, namun ketiga-tiganya ditutup daripada laluan keluar masuk warga asing.

“Bagi Pelabuhan Kuala Linggi, ada kapal yang menurunkan krew untuk transit sebelum ke KLIA (Lapangan Terbang Kuala Lumpur) untuk pulang ke negara masing-masing namun sejak 26 Julai lalu, pelabuhan itu ditutup sepenuhnya untuk persinggahan transit krew kapal.

“Bagaimanapun, bagi krew yang mahu ‘sign on’ (berlepas) masih dibuka, namun setiap krew kapal perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dahulu dan sekiranya negatif baru boleh naik kapal,” katanya.

Views:

279
Kongsi :
Previous post UTeM warta 1 Disember sebagai Hari Alumni
Next post E-sukan Kampus Yodoo peringkat kebangsaan: Team Revenge UTeM raih tempat ketiga
Ubah saiz-+=